ari ni baca artikel ni kat
Utusan Malaysia Online - Keluarga letak kat sini sebagai peringatan untuk diri sendiri.............
Jangan jadi macam saya
DARI pengalaman saya sendiri banyak masalah dalam rumah tangga terjadi kerana kesalahan isteri sendiri. Sebabnya, pertama takut bertindak, kedua melembutkan diri tunjuk baik tak tentu pasal, dan ketiga terlalu sayangkan suami hingga merosakkan diri sendiri.
''Saya bukan cakap pasal orang lain tetapi daripada pengalaman sendiri kerana kesilapan saya atas tiga-tiga perkara tersebut, tetapi saya cepat sedar walaupun terpaksa jadi ibu tunggal sekarang, namun saya tak pernah menyesal. Sebaliknya saya bersyukur hidup sendirian membawa banyak pengajaran kepada saya.'' Demikian cerita Khariah dalam emelnya.
''Lima belas tahun lamanya saya bersabar mengikut telunjuk suami, kerana itu nasihat kawan dan seorang ustaz, kata mereka sabar lama-lama suami akan berubah jua, sebaliknya, suami saya cagarkan rumah ke bank kerana dia nak buat belanja kahwin lagi.
''Bila rumah kena lelong, dan saya tak mampu nak bayar sebab selama ini suami yang pegang duit gaji saya, akhirnya saya terpaksa keluar dan sewa belakang rumah orang, setelah diceraikan. Itulah nasib saya terlalu mengikut kehendak suami, takut berdosa kerana membantah akhirnya diri sendiri menderita.
''Nasihat saya kepada kaum wanita jangan jadi macam saya, kini enam tahun telah berlalu, baru saya mampu berdiri walaupun belum boleh berlari. Barulah saya sedar betapa bodohnya saya selama ini, mengikut telunjuk suami membabi buta.'' Demikian nasihat pendek Khairiah yang enggan bercerita panjang kerana tak mahu luka lama berdarah kembali.
Sementara itu Puan Suhana dalam emelnya menjelaskan dia tertarik dengan cerita 'suami hanya tetamu' dalam ruangan ini, yang menurutnya sindiran itu memang tepat kena ke batang hidung kebanyakan lelaki yang tidak sedar diri.
''Pada pandangan saya sebenarnya jika isteri terlalu berlembut tanpa memikirkan diri sendiri hidup mereka akan berakhir dengan perceraian juga, kerana suami mahu mencari kebahagiaan cara lain pula. Suami ni kalau kita layan dia macam raja pun dia tak pernah berpuas hati. Jadi lebih baik kita layan diri sendiri macam queen.
Halau keluar
''Nasib tak baik, selama kahwin dia yang kumpul harta, bila dia tak suka kita dia boleh halau kita keluar bila-bila masa, tambah-tambah bila orang baru nak masuk rumah segera. Waktu itu menangis air mata darah pun tak ada gunanya.
''Kalau kita bijak dan sanggup turun naik mahkamah, bolehlah kita buat tuntutan harta sepencarian. Tapi kalau duit pun tak ada, nak tuntut macam mana, biro guaman bukan senang nak jumpa. Peguam pulak kalau tak ada duit kes tak jalan. Kalau bayar pun 4 atau 5 tahun belum tentu boleh selesai.
''Tapi kalau nak tuntut harta sepencarian setakat rumah kos rendah tak payahlah, sebab nak tuntut makan masa bertahun-tahun belum tentu selesai, buat sakit hati dan menghabiskan duit aja, lebih baik bagi makan anak-anak .
''Sebab itu kalau sayangkan suami biar ada batasannya, yang penting mesti ada duit simpanan sendiri. Bila kita ada duit baru ada kekuatan dan semangat. Sebab seandainya terjadi perkara yang tak diingini, tidaklah kita jatuh tertonggeng bak kata orang utara.
''Dulu semasa saya melangkah ke alam perkahwinan emak saya nasihatkan saya tiga perkara, pertama kata mak jangan minta sesuatu di luar kemampuan suami, kedua saya kena banyak bersabar dan jangan melawan suami. Nasihat emak yang pertama saya ikut sampai hari ini, yang kedua saya patuh 80%, yang ketiga, bila perlu saja saya buat. Saya jalankan tanggungjawab sebagai isteri sebaik mungkin.
''Tetapi nak jadikan cerita keikhlasan suami kepada saya terbongkar juga, sewaktu dia hampir nak bersara, dia cuba buat lawak bodoh dengan saya. Katanya bila bersara nanti dia dapat banyak duit bolehlah kahwin dua, konon saya pun dah tua. Jadi kurang sikit tugas saya. Apa dia fikir saya saja tua, dia tak boleh tua.
'' Tuhan maha kaya, kejujurannya berkata-kata mengikat dirinya sendiri, atau mungkin juga Allah memberkati pengorbanan saya kepada suami sepanjang perkahwinan kami. Malangnya lawaknya membuatkan dia terkantoi.
''Bila suami saya menyedari kesilapan yang dikatakan, dia menyesali. Berkali-kali dia minta maaf pada saya, bahawa dia tidak akan berkahwin lagi. Memandangkan dia bersungguh-sungguh mohon maaf dan mungkin kesalahannya yang pertama yang saya tahu, maka saya maafkan dia. Namun sampai mati pun saya takkan melupakan apa yang terjadi dan apa yang telah dilakukannya telah merosakkan kepercayaan saya terhadapnya.
Saya katakan padanya kalau dia kahwin juga saya tak larang, tapi jangan harap dia dapat jumpa anak-anak dan cucu-cucunya. Anak-anak memang tak suka benda seperti itu terjadi dan mereka sukar menerima wanita lain dalam hidup mereka.
''Saya juga ingatkan dia ''awak jangan ingat dah nak pencen, awak dapat duit beribu-ribu ringgit, awak mudah ditimpa perasaan. Takut nanti bila awak dah tinggal gigi dengan gusi, jangan kata manusia, nyamuk pun tak lalu nak hisap darah awak!
''Alhamdulillah, mungkin termasuk juga pada akalnya dengan kata-kata saya tu suami saya jadi baik hingga kini. Bila pencen dia serahkan semua duitnya pada saya. Tetapi baik macam mana pun kepercayaan saya pada dia, memang tak ada lagi. ''I just go with the flow.'' juga.
''Kesimpulannya kita boleh sayang suami tapi jangan bagi muka. Orang lelaki semakin tua dan banyak duit dia bukan saja lupa usianya, tetapi dia jadi lupa diri. Kalau suami kita kaya kita menangis dalam rumah banglo atas bukit dan di kelilingi duit berjuta-juta ringgit dalam bank, berbaloi juga kita nak sedih. Tetapi kalau duit setakat jutaan rupiah tak payah lah kita nak bermati-matian mempertahankannya, buat menyusahkan hidup kita aja.'' Demikian nasihat Suhana panjang lebar dari pengalamannya khas untuk wanita yang bergelar isteri.